Sunday, May 24, 2009

DOA MENGIKUT ADAB LEBIH MUSTAJAB

Kelebihan berdoa banyak diterangkan dalam al-Quran dan hadith. Selain menjadi inti pati ibadah, doa adalah penghubung antara hamba dan Khalik (Pencipta). Walaupun dengan beberapa patah perkataan atau diniatkan segala permintaan dalam hati kepada Allah, hakikatnya ia tetap dikelaskan dalam jenis berdoa.
Oleh itu, amalan berdoa bukan sesuatu yang sukar, sebaliknya boleh dilakukan sepanjang masa. Ia bertepatan dengan firman Allah maksudnya : “Minta doalah daripadaKu, Aku menerima doamu.” (Surah al-Mukmin, ayat 60).
Doa bukan hanya ibadat. Malah otak ibadah sebagaimana yang diterangkan Rasulullah saw, maksudnya: “Doa itu adalah otaknya ibadat.” (Hadith riwayat Imam Al-Bukhari). Ibadat yang dilakukan tanpa doa dapat diumpamakan seperti manusia yang tidak mempunyai akal (tidak berotak) Orang yang tidak ada otak adalah orang yang berkata-kata tanpa berfikir.
Dalam pada itu, doa dipandang sebagai otak ibadah kerana ia adalah simbol perhambaan kepada Allah. Nabi Muhammad saw walaupun dikelaskan sebagai manusia pilihan tidak berhenti-henti berdoa dan mengharapkan pertolongan Allah. Baginda berdoa agar diri dan seluruh umatnya sentiasa mendapat taufik (petunjuk) dan hidayah daripada Allah.
Ketika berdoa, setiap muslim perlu mematuhi adabnya supaya ia lebih mustajab. Dalam perkara ini, hari yang baik hendaklah dipilih ketika berdoa seperti hari Arafah, Jumaat, sepanjang Ramadhan, sahur dan tengah malam, Selain hari, waktu berdoa diambil kira ketika berdoa. Diantara waktu paling sesuai ialah ketika sujud, ketika ingin mengerjakan solat fardhu, ketika dalam musafir (iaitu perjalanan yang menuju kepada kebaikan) dan diantara dua khutbah.
Umat Islam juga digesa supaya menghadap kiblat sambil mengangkat dua belah tapak tangan sehingga nampak ketiak (untuk lelaki) ketika berdoa. Selepas selesai berdoa pula, disyaratkan seseorang itu menyapu dua tangan ke muka. Satu perkara perlu dipatuhi ketika berdoa, ialah tidak sesekali berdoa dengan nada suara yang tinggi. Sebaliknya, umat Islam diminta agar berdoa dengan penuh perasaan takut, gerun, insaf, mengakui kehebatan dan kebesaran Allah serta khusyuk kepada-Nya.
Meskipun keadaan dan waktu berdoa sudah dipatuhi, masih ada soa yang tidak dimakbulkan Allah. Ia berlaku apabila seseorang berdoa, tetapi dalam masa yang sama masih melakukan maksiat kepada Allah. Pengajaran daripada kisah Ibrahim bin Adham, seorang ahli sufi yang cukup untuk menjelaskan kenapakah doa seseorang masih tidak dimakbulkan Allah. Ketika berada ditengah pasar Basrah, beliau disapa sekumpulan pemuda. Mereka bertanya kepada Ibrahim, mengapa doa mereka tidak dimakbulkan Allah, pada hal selalu berdoa. Ibrahim menjawab doa itu tidak dimakbulkan kerana hati mereka buta (mati) berpunca daripada 10 perkara. Iaitu :
Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya.
Kamu sangka bahawa kamu cintakan Rasulullah saw, tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.
Kamu membaca al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
Kamu makan nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukur-Nya.
Kamu berkata bahawa syaitan itu musuh, tetapi kamu tidak menentangnya.
Kamu berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal untuk mendapatkannya
Kamu berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
Kamu berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia baginya.
Kamu bangun daripada tidur, lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia tetapi kamu
lupakan keaiban kamu sendiri.
Kamu kebumikan mayat saudara kamu, tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.


Sehubungan dengan itu, umat islam perlulah sentiasa berdoa kepada Allah dengan mematuhi segala syarat ketika berdoa
p/s: sama2 la kita jadikannya ia sebagai amalan =)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...